Kata Aluan YB Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia

TIMBALAN MENTERI KESIHATAN

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Perubatan merupakan satu usaha umat manusia dalam dunia ini tanpa mengira bangsa, keturunan atau agama untuk mengubati penyakit. Usaha untuk mendapatkan ubat bagi sesuatu jenis penyakit telah dilakukan sejak zaman Nabi Allah Adam a.s. sehingga sekarang dan usaha ini akan berterusan. Jenis penyakit kian bertambah dan lebih rumit lagi, dengan perubahan cara hidup manusia serta alam sekitar. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud, “Setiap penyakit ada ubat melainkan penyakit tua dan mati”. Walaupun berbagai jenis ubat telah diusahakan oleh manusia, namun masih banyak lagi penyakit yang belum diketahui punca atau penawarnya. Rasulullah s.a.w. amat menggalakkan umatnya berusaha untuk mendapatkan ubat bagi setiap penyakit yang dihidapi. Malah, Baginda juga telah menekankan kepentingan pencegahan penyakit melalui langkah-langkah tertentu.

Saya ingin merakamkan penghargaan saya di atas jemputan untuk menukilkan sepatah dua kata sempena Mesyuarat Agung Tahunan MPHM yang ke 15 ini. Tahniah dan syabas diucapkann kepada Majlis Perubatan Homeopathy Malaysia (MPHM) di atas usaha gigih anda untuk memastikan kejayaan penganjuran mesyuart ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melantik lapan (8) Badan Pengamal untuk mewakili amalan-amalan Perubatan Tradisional Melayu, Cina, India, Homeopati, Perubatan Komplementari dan Pengubatan Islam. Badan Pengamal ini dilantik untuk membantu KKM menyelia dan melaksanakan pelbagai aktiviti swa-kawal Perubatan Tradisional dan Komplementari (PT&K) sementara menunggu Akta PT&K 2016 [Akta 775] dikuatkuasakan kelak.

Sebagai salah satu badan pengamal tersebut, MPHM telah banyak membantu pihak Kementerian dalam mengendalikan perkara-perkara yang berkaitan dengan bidang Homeopati. Kementeria Kesihatan amat menghargai segala usaha yang dilakukan oleh pihak MPHM selama ini dan berharap kerjasama yang erat di antara KKM dan MPHM akan dapat diteruskan dalam usaha mempertingkatkan bidang PT&K di Malaysia.

Marilah kita bersama-sama berganding bahu dalam menjayakan matlamat untuk menyediakan perkhidmatan PT&K yang selamat dan berkualiti kepada rakyat Malaysia. Akhir kata, tahniah kepada pihak MPHM di atas penganjuran Mesyuarat Agung Tahunan yang ke-15 ini.

Selamat Maju Jaya!